Senyumlah dengan Ujian-Nya...


      

      Sahabat yang ku sayangi ingatlah Allah amat sayang kepada hambanya. Tatkala kita sedih kembalilah kepada Allah. Tatkala ditimpa musibah kembalilah pada Allah. Tatkala diuji dengan ujian yang tidak boleh ditanggung oleh kita kembali lah pada Allah. Bersyukurlah kita kerana Allah masih sayang kepada hambanya. Allah menguji seseorang hambanya bukan bersahaja, tetapi dia ingin menguji sejauh mana hambanya boleh bertahan. Di dalam kitab suci Al-Quran ada menyebutkan, mengapa kita sering diuji???


“Apakah manusia itu mengira bahawa
mereka dibiarkan saja
mengatakan; “Kami telah beriman,”
sedangkan mereka tidak diuji? Dan
sesungguhnya kami telah menguji orang-
orang yang sebelum mereka, maka
sesungguhnya Allah mengetahui orang-
orang yang benar dan sesungguhnya Dia
mengetahui orang-orang yang dusta.”
~Surah Al-Ankabut ayat 2-3~


      Mengapa semua yang kita idamkan tidak dapat? Allah sengaja tidak memberi kepada kita secara live atau secara langsung kerana Dia mahukan hambanya dekat dengan-Nya. Kerana Allah maha mengetahui setiap sesuatu. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang maha esa sebaik-baik perancang.


“Boleh jadi kamu membenci sesuatu
padahal ia amat baik bagimu, dan boleh
jadi pula kamu menyukai sesuatu,
padahal ia amat buruk bagimu, Allah
mengetahui sedang kamu tidak
mengetahui.”~Surah Al-Baqarah ayat 216~


      Allah subhanallah taa'la mempunyai sifat ar-rahman dan ar-rahim sifat maha pengasih dan penyayang.
Dia tidak akan membebankan seseorang itu dengan sesuatu ujian melainkan hambanya boleh menggalas bebanan yang diberi dengan kesabaran dan ketabahan agar darjatnya sebagai seorang hamba Allah meningkat dan taqarrub hatinya pada Sang Pencipta. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


"Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut." (Riwayat al-Hakim)





“Allah tidak membebani seseorang itu
melainkan sesuai dengan
kesanggupannya.”
~Surah Al-Baqarah ayat 286~

      Tiap kali kita diberi ujian oleh-Nya janganlah sesekali kita menyerah kalah mahupun berputus asa kerana Allah akan sentiasa bersama kita. Kuatkanlah dirimu, dan berfikir bagaimana? bagaimana? dan bagaimana untuk menyelesaikan sesuatu ujian yang diberi oleh-Nya, tanpa merungut, menyalahkan takdir, apa lagi menyalahkan yang Maha Esa. Ingatlah sahabatku Allah amat suka kepada hambanya yang kuat dan tabah. Tiada yang lain yang dapat menolong kita selain Allah.


"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu,
 kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah." -Surah An-Nisa', 4: 32-


“janganlah kamu bersikap lemah, dan 
janganlah pula kamu bersedih
hati,padahal kamulah orang-orang yang
paling tinggi darjatnya, jika kamu
orang-orang yang beriman.”
~Surah Al-Imran ayat 139~


      Bagaimana menghadapi semua ini tanpa mengeluh, malah masih tersenyum tatkala ujian datang. Semuanya bermula dari niat. Andai kita sebagai hamba memasang niat ikhlas kepada-Nya. Insya'Allah bantuan-Nya akan tiba dengan izin dari-Nya. Sentiasalah memperbahrui niat kita agar berterusan mengingatinya serta banyakkanlah bersabar dalam ujian-Nya.
     
       Bermula dengan kisah rasulullah dan seorang perempuan tua yahudi. Setiap hari perempuan tua ini akan menaburkan najis dan duri-duri dijalanan rasulullah menuju ke masjid. Adakalanya kaki rasulullah berdarah terkena duri-duri yang ditaburkan oleh perempuan yahudi tadi. Suatu hari apabila rasulullah seperti biasa langkah ke masjid,di perhatikan tiada duri-duri dan najis di jalanan. Perkara yang sama berulang beberapa hari sehinggalah rasulullah mendapat berita bahawa perempuan tua itu telah jatuh sakit. Maka rasulullah tanpa pernah ada rasa dendam menziarahi perempuan itu dirumahnya. Melihat keadaan perempuan itu yang sakit, tiada berdaya,rasulullah sendiri membantu dengan membersihkan perempuan itu, bahkan rasulullah menyuapkan makanan ke mulut perempuan yahudi itu.dengan akhlak rasulullah yang indah, akhirnya perempuan yahudi itu memeluk islam. Betapa tingginya sifat kesabaran nabi terhadap karenah umatnya.


     

       Kisah lain yang menceritakan tentang kesabaran yang tinggi apabila diberikan ujian, Siti Maryam yang hidupnya penuh zuhud dan taat beribadah kepada tuhannya. Suatu masa tanpa disangka-sangka Allah telah menguji wanita mulia ini dengan ujian yang hebat. Wanita syurga ini dikhabarkan oleh Malaikat bahawa dia bakal melahirkan anak yang cukup istimewa tanpa sentuhan dari seorang bapa. Siti Maryam menyambut berita itu dengan hati yang penuh tawaduk  dan pasrah kepada sang pencipta . Biarpun sedar fitnah bakal menimpa dirinya , tetapi ia tidak dijadikan alasan untuk berpaling dari perintah Allah. Tanpa sebarang perkahwinan mana mungkin bagi seorang putri melahirkan seorang anak , apatah lagi untuk insan sepertinya mempunyai hubungan yang mengundang dosa yang dimurkai Allah, tetapi bagi Siti Maryam Allah lebih mengetahui segala-galanya . Tatkala mengabdikan diri dalam munajat dan ibadahnya, Siti Maryam menadah tangan menagih perhatian tuhannya, lalu berdoa, "Tuhanku, apakah aku akan melahirkan seorang anak, sementara tidak ada seorang pun yang menyentuhku"? Debaran semakin dirasai oleh Siti Maryam , Jiwanya menanti jawapan penuh harapan dari yang Esa. Maka Allah menjawab pertanyaan insan penuh istimewa ini melalui perantaraan malaikat-Nya, "ALLAH menciptakan sesuatu yang diinginkan-NYA. Dan anak yang akan kamu lahirkan ini akan mempunyai keistimewaan. Dan di antara keistimewaannya adalahdia akan berkata kepada manusia ketika masih dalam buaian."
      
      Perjalanan akhir wanita ini menyingkap seribu satu erti kesetiaan . Ya, inilah kesetiaan yang perlu ditanam dalam jiwa setiap dari kita untuk terus taat kepada Perintah Allah. Dalam kalam Allah juga ada menyatakan bagaimana cara menhadapi dugaan-Nya.


“Wahai orang-orang yang beriman!
Bersabarlah kamu (menghadapi segala
kesukaran dalam mengerjakan perkara-
perkara yang berkebajikan), dan
kuatkanlah kesabaran kamu lebih
daripada kesabaran musuh, di medan
perjuangan), dan bersedialah (dengan
kekuatan pertahanan di daerah-daerah
sempadan) serta bertaqwalah kamu
kepada Allah supaya, kamu berjaya
(mencapai kemenangan).”
~Surah Al-Imran ayat 200~


“Dan mintalah pertolongan (kepada
Allah) dengan jalan sabar dan
mengerjakan sembahyang; dan
sesungguhnya sembahyang itu amatlah
berat kecuali kepada orang-orang yang
khusyuk”
~Surah Al-Baqarah ayat 45~


      Akhir sekali, muhasabahlah diri kita agar tidak terpesong jauh dari rahmatnya keran dengan muhasabah dirilah kita dapat melihat kekurangan diri. Maka kelemahan diri itu dapatlah diperbaiki. Selain itu kita dapat bertaubat serta meninggalkan kisah silam yang gelap dan mulakan hari seterusnya dengan cahaya nur iman disulamkan cinta kepada Allah. Justeru, dapat menggelakkan diri kita dari mengulangi perbuatan yang mungkar seterusnya dapat mengumpul pahala amalan soleh dan yang paling penting sekali dapat mempersiapkan diri kita menghadap Allah dengan qalbun salim serta bersedia untuk dijemput dengan kematian. Seperti yang dikalamkan oleh Umar Al-khattab :




"Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan