Kita Yang Berdosa


      Kata orang, api yang marak besar bermula dengan api kecil. Sekecil-kecil api, jika tidak dipadamkan secepat mungkin, akan membesar tanpa disedari. Ketika  kecil, api itu mengasyikkan. Namun, apabila besar menjadi lawan.


      Begitulah dengan dosa kita. Setiap dosa yang besar bermula dengan dosa yang kecil. Dosa kecil yang tidak disesali dengan taubat nasuha akan meninggalkan titik hitamdi dalam hati. Kemudian, jika dibiarkan lagi akan memenuhi hati berkenaan.


      Kita sering menganggap ringan terhadap setiap dosa kecil. Seolah-olah tiada apa-apa. Sebaliknya, semakin dibiarkan lama, semakin barah dosa itu sehingga boleh menutupi hati. Kemudian memungkinkan kita melakukan dosa besar. Semakin dianggap kecil dosa itu, semakin menjadi besar dosa dihadapan Allah S.W.T.


      Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud : "ketika seorang mukmin berbuat satu dosa, dosa itu menjadi setitik noda hitam pada hatinya. Jika ia menyesalinya (memohon keampunan), hilanglah noda itu. Jika ia tidak menyesali, maka noda itu akan membesar sehingga menutupi seluruh hatinya."


      Apabila terlalu hitam dan kerasnya hati, kita akan sukar untuk memuhasabah diri sendiri. Gagal memahami sebarang perubahan yang berlaku kepada diri secara rohani dan jasmani. Sedangkan Allah S.W.T berfirman di dalam berfirman di dalam surah An-nisaa', ayat 31 yang bermaksud : "Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukanya, Kami akan mengampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)."




      Setiap mukmin tidak akan pernah terlepas daripada melakukan dosa. Pasti ada yang dilakukan. Bezanya sama ada sengaja ataupun tidak sengaja. Mahukah kita pulang kepadaNya dengan membawa dosa setinggi gunung atau seluas lautan? Percayalah...masih ada pintu taubat yang menanti. masih ada rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T yang dijanjikan kepada hambanya disebalik kejahilan diri. Usah diambil langkah yang mungkin menutup pintu rahmat ilahi kepada kita.


      Renungkanlah sabda baginda di dalam hadis yang bermaksud : "janganlah mengharapkan kematian dan jangan pula berdoa memohon kematian sebelum datang waktu !! kerana amalan akan terputus jika ajal menjemput dan kerana umur seseorang mukmin tidak akan menambah kecuali kebaikan baginya." (hadis riwayat muslim)


*****

P/s: peringatan buat diriku yang mudah alpa dihanyut dosa masa laluku. Ingatlah hidup di dunia hanya sekali akhirat jua kekal abadi. Ukhwahfillah abadan abada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan